17 July 2010

Minda: Jejas Minat Membaca

SELAIN masalah disiplin murid yang membimbangkan pelbagai pihak, isu berkaitan pendidikan di negara kita adalah kaedah belajar yang bermatlamatkan pencapaian akademik untuk menjamin masa depan pelajar.Akhir-akhir ini ditekankan pula mengenai kokurikulum untuk mengalih arah murid supaya tidak mementingkan 100 peratus kepada pencapaian bidang akademik.
Apa pun, setiap pelajar sudah tentu mengejar pencapaian akademik kerana inilah yang bakal menentukan masa depan mereka selepas meninggalkan alam persekolahan. Sehubungan itu, ibu bapa akan melakukan apa saja untuk memastikan anak mereka berjaya dalam peperiksaan khususnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagaimanapun, jarang kita dengar ibu bapa bertanya mengenai pencapaian anak mereka dalam bidang kokurikulum. Ini menunjukkan kefahaman mereka mengenai pentingnya kokurikulum masih rendah dan perlu diberi pendedahan lebih mendalam kepada mereka.
Cadangan memansuhkan UPSR dan PMR mendapat pelbagai reaksi sama ada yang terbabit secara langsung dengan akademik mahupun orang ramai terutama ibu bapa.
Ramai yang menyokong PMR dimansuhkan manakala UPSR dikekalkan untuk menilai sejauh mana keupayaan murid di sekolah rendah. Apa pun memang mustahil untuk mengizinkan murid yang belajar enam tahun dilepaskan ke sekolah menengah tanpa sebarang sijil peperiksaan yang berkaitan pencapaian akademik.
UPSR boleh dirombak dengan tidak memfokuskan 100 peratus kepada peperiksaan bertulis saja. Penilaian dalam bentuk lain boleh dilakukan termasuk markah kokurikulum, ujian lisan dan lain-lain yang difikirkan sesuai dengan keperluan semasa serta masa depan murid.
Bagaimanapun, peperiksaan bertulis UPSR mesti dikekalkan kerana jika ada buku yang dibaca dan dipelajari murid, bagaimana kita hendak mengetahui tahap penguasaan dan pemahaman mereka berdasarkan apa yang dibaca dan dikaji jika tidak menerusi peperiksaan bertulis? Bagi PMR, ramai berpendapat perlu dimansuhkan dan diganti dengan kaedah lain. Kementerian Pelajaran sendiri bercadang memperkenalkan Sistem Pentaksiran Berdasarkan Sekolah (SBA) yang bukan hanya untuk PMR, tetapi juga UPSR.
Memansuhkan PMR bererti tiada lagi bentuk peperiksaan di peringkat tingkatan tiga seperti sekarang. Jika peperiksaan pentingnya terletak di peringkat SPM iaitu di tingkatan lima, ini bererti pelajar terpaksa mengumpul selonggok bahan yang dipelajari sejak tingkatan satu untuk mendepani peperiksaan di tingkatan lima.
Justeru, adalah dirasakan dengan apa kaedah sekalipun, penilaian di tingkatan tiga mesti dilaksanakan kerana setelah berada di tingkatan satu hingga tiga, tidak wajar pelajar ini tidak diuji dengan sebarang bentuk penilaian.
Ramai berpendapat sejak dulu lagi sistem pendidikan sekolah di negara kita lebih berorientasikan lulus peperiksaan. Pelajar disogokkan dengan sejumlah buku kemudian dinilai pemahaman mereka kemudian diberi pangkat dalam sijil selepas peperiksaan.
Longgokan buku dalam sesetengah mata pelajaran pula dikaitkan dengan kepentingan semangat membaca yang dikatakan sangat rendah bagi masyarakat di negara kita.
Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) di sekolah yang dilancarkan pada 1998 sudah cukup membuktikan betapa kita pentingkan pembacaan dalam kalangan pelajar. Antara lain objektif program ini ialah menggalakkan pelajar membaca dan tidak terkongkong kepada pembacaan yang berorientasikan peperiksaan saja. Bagaimanapun, hasil tinjauan yang dibuat, ramai pelajar yang menjadikan teks wajib di sekolah sebagai bahan bacaan kemudian dimasukkan sebagai bacaan dalam program ini.
Minat membaca dalam kalangan pelajar sangat membimbangkan. Kita bimbang jika UPSR dan PMR dimansuhkan akan terus menjejaskan minat membaca dalam kalangan pelajar. Di samping boleh menjejaskan minat membaca, pengusaha pusat tuisyen yang bergantung kepada dua peperiksaan itu terpaksa gulung tikar. Sekiranya diteruskan cadangan ini bermakna pusat tuisyen juga mestilah bersedia daripada sekarang untuk mencari rezeki lain. Bagaimanapun, kementerian mestilah melengkapkan pelbagai prasarana untuk memastikan cadangan ini dilaksanakan sebaik mungkin. Contohnya, untuk menjadikan kokurikulum sebagai satu kaedah untuk mengetahui pembabitan setiap murid, setiap sekolah mestilah mempunyai dewan untuk pelbagai jenis aktiviti sukan. Sekolah juga mestilah mempunyai padang sendiri untuk memastikan kebanyakan aktiviti sukan dapat dijalankan seperti bola sepak, bola jaring dan olah raga.
Di samping itu, setiap penilaian yang dilakukan di sekolah mestilah ada kaitan dengan pasaran kerja bagi setiap murid kelak. Tidak kira sama ada mereka bekerja dengan sektor awam, swasta dan bekerja sendiri, penilaian yang dilakukan mestilah memfokuskan kepentingan masa depan dengan tidak membelakangkan sahsiah murid.

0 comments:

Post a Comment

GURU PRA ZON JENGKA

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Followers